Nasihat senior buat budak2 matrik yang 'dilelong'

10 July 2011
Istikharah itulah jalan terbaik



Dilelong merupakan satu perkataan yang diistilahkan kepada satu keadaan di mana seseorang pelajar itu gagal mendapatkan tawaran untuk kursus-kursus yang dipohon, sebaliknya, ditawarkan dengan kursus ataupun program yang diluar permohonan mahupun minat pelajar tersebut. Keadaan sebegini sering terjadi kepada pelajar-pelajar program Matrikulasi yang mendapat keputusan yang kurang memuaskan ataupun sekadar cukup-cukup makan.


Dalam hal ini, biasanya, pelajar tersebut akan berasa sangat kecewa dan tertekan kerana gagal mendapat tempat dalam kursus-kursus yang mereka minat. Bahkan, mungkin ada segelintir pelajar yang terkejut dengan tawaran yang diberikan kepada mereka kerana kursus tersebut 'tidak pernah' terlintas pun dalam hati mereka untuk memohon kursus tersebut. Apatah lagi bila mendengarkan khabar gembira rakan-rakan yang berjaya mendapatkan kursus yang diminati masing-masing. Tak mustahil semua ini akan membuatkan anda merasa terhina dan kecewa. Anda rasa sangat tertekan, sangat terkilan. Seluruh masa depan anda bagaikan sudah hancur binasa. Anda menangis seorang diri mengenangkan nasib anda kerana gagal mendapatkan kursus yang anda hajati.


Kepada para pelajar yang mengalami situasi tersebut, jangan risau, kerana disini ingin saya utarakan 5 nasihat serta panduan dalam menghadapi situasi tersebut. Walau apapun kursus yang anda dapat, jangan terus gelabah, sebaliknya pandanglah jauh kehadapan. Jangan sesekali kalah sebelum berperang kerana itu adalah sifat seorang pengecut.

1. Redha
Tidak lain dan tidak bukan, penawar segala duka adalah dengan redha dan pasrah atas segala ketentuan Allah yang Maha Kuasa. Sesungguhnya hanya Dia lah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Maka, kita sebagai hamba-Nya wajib menerima dengan ikhlas setiap ketentuan-Nya. Mungkin teramat sukar untuk kita menerima kenyataan bahawa kita telah 'dilelong' oleh sistem meritokrasi, bahkan, ada yang sudah berputus asa setelah gagal mendapatkan tawaran yang diidam-idamkan oleh mereka selama ini. Saya tidak menafikan bahawa kita patut merasa sedih dan terkilan setelah segala cita-cita dan impian kita yang dibina sejak kecil lagi musnah sekelip mata setelah gagal mendapatkan tawaran kursus yang sesuai dengan cita-cita kita. Akan tetapi, apakan daya kita untuk mengubah keputusan tawaran tersebut, hatta jika kita menangis air mata darah sekalipun, takkan dapat mengubah bubur menjadi nasi, mengubah asap menjadi api.


Jadi, selayaknya kita sebagai hamba kepada Pencipta yang percaya akan Qadha dan Qadar sebagaimana yang termaktub dalam rukun iman, maka, redha dan pasrah itulah jalan terbaik untuk kita merawat segala kedukaan dan kehampaan kita. Dengan redhanya kita akan takdir allah s.w.t., maka hati kita akan beransur tenang. Segala kekusutan dan kekalutan yang dialami akan beransur hilang.

2. Fikir positif
Berfikirlah secara positif bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin sekarang anda tidak nampak apa kebaikannya untuk anda menerima kursus tersebut kerana fitrah kita selayaknya manusia, tidak dapat menduga apa yang akan berlaku di kemudian hari. Pernahkah anda terfikir bahawa bertapa ramai lagi para pelajar diluar sana yang gagal mendapatkan tempat di IPT? Terbayangkah anda bagaimana kecewanya mereka kerana gagal menyambung pengajian ke menara gading yang amat mereka idam-idamkan selama ini? Bagaimana pula jika anda berada ditempat mereka? Sudah pasti anda akan berkata 'kalaulah ak diberi peluang untuk masuk ke menara gading, apa-apa kursus pun aku sanggup asalkan ak dapat meneruskan pelajaran aku'.


Bagi saya, sistem 'lelongan' merupakan satu rahmat Allah yang hikmahnya diluar jangkaan kerana dalam sistem tersebut, nasib kita bergantung kepada Allah s.w.t. sepenuhnya. Melalui sistem itulah Allah Ta'ala dapat memberikan kita satu kursus yang terbaik dan yang paling sesuai dengan diri kita kerana hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terbaik bagi kita. Dari situlah Allah s.w.t. menguji kita samada kita percaya atau tidak akan perancangan-Nya yang Maha Rapi. Siapa tahu yang nasib anda bakal berubah kearah yang lebih baik setelah mengikuti kursus tersebut?

3. Tak kenal maka tak cinta
Cuba dulu baru anda tahu. Inilah formula utama untuk seseorang itu mengetahui kemampuan serta keperluan sebenar bagi dirinya. Mungkin buat masa ini anda memandang rendah terhadap kursus tersebut, tetapi mana tahu kalau setelah anda mencubanya, anda akan dapat serasikan diri anda? Inilah yang terjadi kepada saya dimana pada mulanya saya hanya memandang enteng akan kursus yang ditawarkan sehinggalah saya mula mengikuti kursus tersebut, barulah saya tahu yang inilah kursus yang amat sesuai dengan diri saya. Jadi anda tunggu apalagi? Tak kenal maka anda takkan cinta ^^.

4. Tanamkan minat serta cita-cita baru
Setelah anda dapat menerima kursus yang ditawarkan tersebut dengan rela hati, maka, langkah anda yang seterusnya ialah menanam minat serta cita-cita yang baru yang bersesuaian dengan kursus yang anda bakal jalani. Tanamkan dalam fikiran anda bahawa masa depan anda terletak pada kursus tersebut. Saya akui, memang sukar untuk kita mengubah cita-cita yang sememangnya sudah sebati dengan diri kita. Tetapi anda harus ingat, ramai manusia didunia ini yang gagal dalam cita-cita asal mereka tetapi mereka masih lagi berjaya bahkan lebih menjadi lebih hebat lagi dari apa yang mereka idam-idamkan selama ini.


Adalah sangat penting untuk andab timbulkan rasa minat terhadap kursus tersebut kerana hanya minatlah yang dapat mendorong anda untuk belajar bersungguh-sungguh. Tidak salah kalau saya rumuskan bahawa antara punca utama kegagalan seseorang mahasiswa semasa menuntut di menara gading ialah kerana mereka gagal untuk menimbulkan minat mereka terhadap kursus yang ditawarkan. Inilah masalah utama yang masih membelenggu sebahagian dari kita. Andai kita ditawarkan kursus yang lain, kita terus tolak kursus tersebut ketepi, awal-awal lagi kita sudah terfikir "habislah masa depan aku, rosaklah cita-cita aku...kalau aku masuk kursus ni pun, aku takkan kemana". Sedangkan kita masih belum mencuba kursus tersebut, belum lagi kenal, apatah lagi untuk meminati kursus itu?


Nasihat saya selaku orang yang pernah mengalami masalah yang sama, cuba sedaya upaya anda untuk meminati kursus tersebut.. Ceritakan kepada kawan-kawan, bahkan kepada orang-orang di sekeliling anda bahawa anda memang meminati kursus tersebut. Beritahu kepada mereka tentang kelebihan kursus tersebut (meskipun anda sendiri tidak pasti, tapi awas, jangan sesekali berbohong), katakan kepada diri anda sendiri bahawa anda bukan dilelong, tapi anda sendiri yang memang menghajati kursus tersebut. Insya-Allah, lama-kelamaan, anda akan mula menyukai serta meminati kursus tersebut..

5. Usaha dan tawakal
Tiada orang di dunia ini yang berjaya dalam bidang mereka tanpa melakukan apa-apa. Anda mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kursus tersebut. Jangan sesekali mengalah sebelum berjuang. Terus perjuangkan niat utama anda masuk ke menara gading. setelah habis berusaha, sandarkan segala harapan dan doa anda kepada Allah Yang Maha Kuasa. Insya-Allah, walau apa jua kursus pun yang anda ikuti, anda akan berjaya untuk cemerlang.